Ramai yang kata seorang penulis blog yang hebat adalah mereka yang terdiri daripada golongan yang popular, yang mempelajari SEO tahap sarjana, Pagerank yang tinggi dan mempunyai tag relevan yang cukup mantap. Mungkin sebab itulah penulis blog yang ada sekarang begitu ligat berlumba-lumba menulis tutorial mengenainya walaupun mereka sendiri pun tidak pasti keberkesanannya.
Tetapi pada saya konsep terlalu menekankan ketiga-tiga taktik di atas untuk mengejar status penulis blog popular adalah salah satu contoh pemikiran cetek golongan hingusan untuk mendapatkan traffik melalui enjin carian. Persoalan yang selalu timbul di kepala saya ialah bolehkah saya menarik kembali pembaca yang pertama kali berkunjung ke blog saya dengan menggunakan keupayaan enjin carian? Mungkin ia berkesan untuk kali pertama, tapi bagaimana pula setelah si pembaca membaca kandungan artikel di dalamnya? Lebih malang sekiranya si pembaca mendapati isi kandungan blog tidak sama seperti kata kunci yang beliau kehendaki. Tidakkah ini menimbulkan perasaan kecewa si pembaca, atau yang lebih teruk lagi perasaan tertipu dengan blog anda?
Saya pernah menulis tanpa mendapat sebarang komen pun dalam blog saya sebelum ini mengenai isu kenaikan harga minyak. Sesuatu yang cukup memalukan dan taboo untuk seorang penulis blog yang berfikiran sempit membincangkannya. Tetapi apa yang cukup membanggakan saya, ianya telah dibaca lebih 190 kali menurut page views penyedia laman sesawang saya. Lihatlah adakah sunyi tanpa sebarang komen itu adalah penanda aras artikel yang telah kita tulis tidak mendapat perhatian pembaca? Ini yang sebenarnya membanggakan saya! Dibaca walaupun tidak mendapat reaksi seadanya, kerana apalah ertinya komen yang panjang berjela sekiranya ia tidak meresap ke dalam jiwa pembaca apa lagi bila ianya langsung tidak dibaca.
Perlu diingat pembaca blog kita bukannya seperti pembaca dari negara jiran kita Indonesia. Istilah Blogwalking bagi kita hanyalah sekadar meninggalkan jejak tanpa membaca sedikitpun buah fikiran yang dikeluarkan oleh penulis lain, sedangkan ia sebenarnya percambahan ilmu! Apa yang si pengkomen harapkan ialah si pemilik blog mengunjunginya semula dengan membawa seribu harapan agar berjaya menaikkan traffik sendiri dan yang lebih penting lagi sebagai backlink.
Alangkah jahilnya pemikiran penulis blog melayu kita yang lebih murah nilai tulisannya berbanding apa yang jiran kita ada. Sungguh, saya lebih tertarik membaca hasil tangan penulis blog negara jiran kita yang lebih terbuka dan bersifat ilmiah berbanding apa yang kita ada. Hidangan seks? Politik? Hiburan? Benci-membenci? Wang? Kisah hidup murahan? Yang sebelum ini pernah saya ulas silih berganti bagai cendawan tumbuh selepas hujan yang semuanya bertunjangkan selembar kertas yang dipandang tinggi oleh kapitalis bernama Ringgit Malaysia. Berpaksikan kepada satu matlamat “To Be Top Malaysian Blogger”. Dan bermatlamatkan 1Traffik. Syabas bangsaku.
Hari ini, tanpa kita sedari ataupun pura-pura tidak menyedari, kita sebenarnya terlalu dilimpahi dengan ketaksuban berblog. Kita ibarat menahan lukah di pergentingan, mengambil kesempatan di saat-saat sukar. Nawaitu kita telah terhakis sedikit demi sedikit daripada ikhlas menulis kepada mengharapkan sesuatu sebagai ganjaran. Pernahkah kita terfikir bahawa kita adalah di antara orang-orang yang bertuah kerana mencatat sejarah? Menyebarkan ilmu untuk meneruskan ketamadunan manusia sejagat? Sedarkah kita betapa tingginya darjat seorang penulis di mata umum.
Namun saya tidak nafikan terdapat ramai lagi penulis blog melayu yang memang ikhlas menulis seperti ustaz Zaharuddin, ustaz Ridhuan Tee, Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Najib dan beberapa nama besar lagi menyumbang kepada perkembangan sosio-budaya kita. Bukan memuji di sebabkan mereka orang penting negara, tapi realitinya tiada siapa yang dapat menyangkal betapa menariknya hasil tulisan yang telah mereka sumbangkan.
Intihanya apa yang cuba saya tekankan di sini ialah menulislah kerana pembaca. Tulislah dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan daripada pembaca anda kerana yang membacanya ialah manusia, bukannya enjin pencari seperti google. Istilah “you follow i, i follow you” hanyalah kelihatan seperti agen penyebar gejala rasuah secara halus kepada orang ramai. Saya rasa kualiti sebenar sebuah blog yang bermutu bukan terletak pada popularnya blog kita di mata mesin pengukur ranking seperti Alexa atau beribu follower yang kita ada. Tapi sehebat mana keupayaan kita mempengaruhi minda pembaca, walaupun hanya seorang! Itulah kepuasan sebenar dalam berblog pada saya.


{ 16 comments… read them below or add one }
« 1 2
salam Mama……
Wah ketika saya menulis di blog saya malah tidak terpikirkan tentang apa itu traffic,…….yang dalam benak pikiran saya adalah menulis untuk berbagi ilmu…..karena semakin banyak kita mau berbagi ilmu maka pada hakikatnya semakin kita banyak mendapat ilmu…..betul ?
istilah Jawanya “Ngangsu toya apikulan warih, amèt geni adedamar”………..
huhuhuhuh… kalau blogwalking(BW).. dia akan baca sedikit sebanyak… tapi kalau tak baca… namanya blogrunning(BR)… :razz:
Jom baca artikel terbaru Ayie …. Hina fatwa berkaitan isu bukan Islam masuk masjid
« 1 2
{ 1 trackback }