Mentaliti seorang makhluk bernama pekerja di Malaysia

Syukur, Alhamdulilah akhirnya kami sekeluarga selamat tiba ke ibukota selepas hampir 2 minggu bercuti di negara jiran. Memang banyak kenangan manis yang terpahat untuk diceritakan kepada anda semua terutamanya buat mereka yang belum berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi Indonesia.

Bukan keindahan flora dan fauna atau kepesatan pembangunan yang menarik perhatian saya semasa bercuti di Jakarta (sebabnya kesesakan bandar megalopolis Jakarta sememangnya jauh lebih dahsyat daripada apa yang kita ada) tetapi mentaliti rata-rata masyarakatnya yang begitu rajin bekerja! Sungguh, carilah golongan mana sekalipun. Hatta budak yang baru berpisah dengan botol susu, mereka sudah tahu apa itu ertinya bekerja.

Saya lihat setiap pagi ada sahaja kanak-kanak yang ringan tulang mencari kerja dengan mencuci kenderaan atau pun sekurang-kurangnya menumpang kenderaan yang memerlukan perkhidmatan mereka. (Terdapat sesetengah jalan merupakan kawasan larangan memandu seorang dan dikehendaki membawa lebih daripada tiga orang penumpang sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalulintas. Oleh itu pemandu yang memandu keseorangan perlulah mencari teman untuk mengelakkannya daripada disaman oleh pihak berkuasa.) Malahan ada di antara mereka juga yang seawal 8 pagi sudah sibuk kehulu kehilir dengan menjual barangan seperti makanan ringan, jam tangan dan juga menawarkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan.

Bayangkanlah bagaimana kanak-kanak seusia mereka yang sepatutnya sedang sibuk menelaah pelajaran di sekolah, sudah pandai hidup berdikari dan dilatih untuk mencari sesuap nasi di bandar raya sebesar itu!. Mungkin apa yang saya nampak cuma melibatkan segelintir daripada mereka sahaja, tapi realitinya kita tidak dapat menyangkal senario ini sememangnya ada.

Itu apa yang seorang kanak-kanak boleh buat. Cuba bayangkan bagaimana agaknya persaingan merebut pekerjaan oleh golongan dewasa yang bagi saya memang amat terhad di sana. Sudahlah diupah dengan gaji yang agak murah (mungkin disebabkan oleh faktor persaingan mendapatkan pekerjaan), malahan lambakan Ijazah dan Diploma di pasaran pekerjaan pula hanyalah seperti selembar kertas kosong di mata masyarakat kerana ia bukanlah suatu jaminan untuk mendapatkan pekerjaan. Yang lebih teruk lagi aspek keselamatan seakan-akan turut dianak-tirikan dan dipandang enteng oleh sesetengah majikan. Ajaibnya tiada satu pun suara rungutan kedengaran berkumandang berikutan kesetiaan mereka kepada majikan masing-masing.

Ini jauh berbeza dengan mentaliti pekerja yang ada di negara kita. Konsep hari ini kerja besok cuti sudah begitu sinonim dengan remaja kita yang kononnya ingin mengumpul duit saku. Itu tidak termasuk mereka yang kerap bertukar-tukar pekerjaan kerana bosan atau pun disebabkan hal peribadi yang lain. Jadi nak buat macam mana? Nak harapkan golongan cerdik pandai kita yang belajar selama 4 tahun untuk mengisi kekosongan jawatan rendah? Jangan harap! Sampai bila pun mereka-mereka yang kononnya terpelajar ini tidak akan mencari kerja yang susah atau “low class”. Meskipun hanya dipinta bekerja secara sambilan terlebih dahulu sebelum mendapat peluang yang lebih baik.

Apa barang… Kalau boleh mereka yang kononnya orang terpilih ini hanya layak duduk goyang kaki atau ditawarkan pekerjaan sebagai boss besar. Hah bila semua perjawatan dah diisi, masa tuelah spesies yang saya cakapkan itu tadi sibuk nak masuk surat khabar kata kerajaan gagal bagi pekerjaanlah, pentingkan pekerja asinglah, salah itulah, salah inilah. Kalau boleh semua sekali dia nak salahkan. Kononnya dia tue bagus sangat. Hello.. awak bukannya bagus sangat pun, ada lebih 30 ribu orang lagi yang sama-sama duk pegang kertas sama seperti yang awak pegang tue tau. Jangan asyik salahkan orang, awak tue yang terlalu bongkak dan memilih pekerjaan.

Nasihat saya, tolonglah… tolong jangan terlalu memilih pekerjaan. Sesungguhnya kita seharusnya sentiasa memanjatkan kesyukuran kerana lahir di bumi yang sungguh bertuah ini. Tiada siapa yang sebenarnya menjadi penganggur mahu pun merempat di sini. Hanya mentaliti kita yang terlalu dahagakan kekayaan mudah tanpa mengeluarkan sedikit keringat yang menjadi batu penghalang. Hasilnya lahirlah golongan pekerja yang asyik diulit mimpi dan tidak berkualiti.

Artikel menarik yang masih segar:

by Mama Murai

Saya ialah penulis bebas yang cenderung menulis mengenai isu-isu semasa, sosial, masyarakat, persekitaran dan blogging mengikut perspektif sendiri. Seorang surirumah yang menjalankan perniagaan melalui internet dan ibu kepada 2 orang anak yang comel yang kini menetap di Labuan.

K← Laman blog saya

11 pendapat yang cukup istimewa… add one

Tinggalkan jejak anda sebagai tanda persahabatan…

CommentLuv badge

Artikel seterusnya:

Artikel sebelum:

%d bloggers like this: